6 Cara Bagaimana Menjaga Kesihatan Mental Ketika Menjaga Ibu Bapa Yang Tua

Saya rasa tak ramai orang mahu berkongsi pahit manis menjaga ibu bapa yang uzur. Konten jaga bayi kecil tak terhitung banyaknya, tetapi bagaimana pula dengan konten jaga orang tua atau dalam bahasa gurauannya—“bayi tua”? Mungkin kerana perkara ini bukanlah satu perjalanan hidup yang kita nantikan. Ianya tidak “glamour” dan tidak indah seperti menyambut kelahiran bayi kecil.

Masakan tidak, siapa yang bercita-cita untuk melihat ibu bapa mereka sakit tua? Nyanyuk? Lupa? Siapa yang bersiap siaga untuk menggalas tanggungjawab ini sedangkan kehidupan sendiri pun masih tidak stabil? Walau apa pun hipotesisnya, topik ini jarang-jarang kita dengar dan perbualkan— meskipun dalam kalangan adik beradik.

Kelompangan ini membuatkan saya rasa terpanggil nak kongsi cabaran-cabaran menjaga orang tua saya. Saya juga kongsikan enam cara bagaimana saya menjaga kesihatan mental ketika menjaganya.

Sejarah ibu

Saya nak mulakan dengan sedikit latar belakang ibu saya. Sedari kecil, saya sudah didedahkan dengan panorama seorang penjaga menjaga orang yang sakit; ibu sebagai penjaga dan ayah sebagai pesakit, sehinggalah ayah saya meninggal dunia pada tahun 2004.

Tidak berhenti di situ, dalam jarak 6-7 tahun kemudian, ibu saya diuji sekali lagi apabila abang saya pula jatuh sakit. Ketika itu saya sedang sibuk belajar di menara gading. Pada tahun 2015, abang sulung saya pula meninggal dunia.

Cabaran menjaga orang tua

Meskipun saya sudah terbiasa melihat ibu menjaga anggota keluarga yang sakit, ianya tidak bermakna saya boleh melakukan hal yang sama kepada ibu dengan mudah dan bebas tekanan. Allah Maha Bijaksana, Dia tahu apa titik lemah hambaNya— maka, saya tidak terkecuali daripada cabaran dan tekanan.

Pada masa artikel ini ditulis, ibu saya mengalami kesukaran untuk bergerak kerana sakit lutut, obesiti dan bongkok. Antara cabaran yang saya hadapi sebagai penjaga orang tua:

  1. Perubahan rutin. 
    Sebelum ini, rutin harian hanya melibatkan diri saya sahaja. Apabila ibu datang, ianya perlu diubah dan disesuaikan mengikut keutamaan. Contohnya, pagi-pagi saya dah kena sediakan sarapan pagi ibu. Kalau nak ikut waktu makan saya, berlaparlah ibu, haha.
  2. Selera tekak ibu yang tersendiri. 
    Sesuatu yang baharu yang saya belajar mengenai selera ibu: nasinya harus baharu masak, tidak boleh lembik, tidak boleh keras, tidak boleh pedas, dan tidak mahu lauk yang berulang kali diperhangat. Senang cerita, sedap macam beliau masak, haha!
    Ianya cabaran untuk saya kerana saya hidup bujang dan saya okey sahaja makan lauk yang sama selama beberapa hari. Kitonyo tok hebak masok mace dio. Pening kepalo fikir menu untuk dio, haha.
  3. Ibu mengalami kesukaran untuk membersihkan dirinya dengan baik. Jadi saya yang akan mencuci rambut dan badannya. Ada masanya saya perlu memanaskan air untuknya, untuk pujuk dia mandi.
  4. Ingatan ibu juga sudah terjejas. Kalau ibu cerita atau tanya perkara yang sama dan berulang kali, saya layan dan bersabar sahaja.
  5. Ibu, sama seperti saya dan anda ada waktu moody dan beremosi. Jadi perbalahan kecil, bermasam muka, berasa hati itu sering kali terjadi.

6 cara bagaimana saya menjaga kesihatan mental ketika menjaga ibu yang uzur

  1. Tidak meletakkan pengharapan yang terlalu tinggi buat diri.
    • Saya sayang kepada ibu saya. Melihat dia menghabiskan masa-masanya untuk menjaga ayah dan abang yang sakit sungguh buat saya rasa kasihan dan simpati dengan nasib ibu. Disebabkan perasaan sayang dan kasihan inilah yang menuntut saya untuk menjaga ibu sebaik dan sesempurna mungkin.
    • Mempunyai perasaan positif seperti sayang dan kasihan itu memang satu hal yang baik, tetapi meletakkan jangkaan untuk menjadi sesempurna mungkin itu nampak bermasalah. Bermasalah sebab apa? Saya rungkaikan dibawah.
      • Satu, saya meletakkan harapan setinggi gunung terhadap diri saya.
      • Kedua, saya mengejar kesempurnaan yang sia-sia. Sebab apa sia-sia? Sebab kesempurnaan itu milik Allah swt. Noktah.
    • Jadi, macam mana saya belajar untuk besederhana meletakkan jangkaan terhadap diri sendiri?
      • Pertama, saya perlu akui yang kesempurnaan itu satu fatamorgana.
      • Kedua, jangan pikul semua tanggungjawab di bahu sendiri. Saya perlu sedar yang bukan saya sahaja yang mahukan yang terbaik untuk ibu— adik-beradik yang lain juga mahu lakukan perkara yang sama. Jadi beri ruang dan kepercayaan kepada mereka untuk menjaga ibu mengikut cara dan bahasa cinta masing-masing.
      • Ketiga, ubah perkataan sesempurna kepada semampu mungkin. Penggunaan kata-kata yang lebih lembut ini main peranan tau dalam mengawal emosi dan pemikiran!
      • Keempat, ucapkan kata-kata yang baik kepada diri sendiri. Contohnya semudah dan seringkas: “Aku dah cuba yang terbaik.”
  2. Perbaiki komunikasi dan letak sempadan.
    • Saya bersyukur saya pernah pergi terapi percakapan. Dari situ, saya belajar banyak tentang cara berkomunikasi secara efektif seperti “I” statement dan komunikasi asertif. 
    • “I” statement ialah satu bentuk komunikasi yang digunakan untuk menyampaikan perasaan dengan jelas tanpa buat orang lain rasa dituduh dan dipersalahkan ketika berkonflik.
    • Contoh komunikasi yang berkesan yang saya selalu lakukan: “Mek, adik nak rehat setengah jam, adik penat.” Beritahu kadar masa dan beritahu perasaan anda. Saya guna dua pendekatan dalam ayat di atas. Satu, saya beritahu keadaan emosi saya iaitu penat. Kedua, saya letak sempadan yang jelas iaitu rehat setengah jam. Perkara begini nampak remeh bagi sesetengah orang, namun bagi saya, kaedah ini amat membantu saya menyampaikan keperluan dalaman saya ketika berasa lelah.
  3. Jaga kesihatan mental dan emosi. 
    • Sekali lagi, saya banyak belajar mengurus stres daripada terapi percakapan seperti rekod pemikiran, pernafasan dalaman, letakkan batas sempadan dan sebagainya. Ianya banyak membantu saya mengurus pemikiran negatif dan tekanan dengan lebih berstruktur dan baik daripada sebelum ini.
  4. Me time. 
    • Ah, betapa pentingnya perkara ini! Me time saya seperti mengasingkan diri sebentar, duduk di dalam bilik, melakukan hobi, bermain dengan kucing dan keluar mengambil angin. Keluar beli barang dapur pun dah happy dan release!
  5. Dapatkan sokongan.
    • Tak ramai boleh faham tekanan menjadi penjaga kepada orang tua. Jadi kalau ada tempat meluah yang selamat dan tidak menghukum, bersyukurlah! Saya ingin mendedikasikan jutaan terima kasih kepada teman rapat saya yang sudi mendengar dan berkongsi rasa dan pengalaman yang sama.
    • Alternatif lain, dapatkan sokongan daripada komuniti yang mengangkat isu ini seperti grup sokongan, ahli profesional kesihatan mental dan sebagainya. Ini contoh grup sokongan yang saya jumpa di Facebook: Malaysian Mental Health Association. Organisasi ini ada menganjurkan program kesihatan mental untuk penjaga seperti kita!
  6. Satu perkara baharu yang saya belajar daripada teman saya: ubah cara berfikir daripada anak kepada “caregiver” (penjaga).
    • Maksudnya, anda menjadi penjaga kepada mereka. Kalau sewaktu kecil, mereka ialah ibu bapa; penjaga kita —pada masa sekarang jadikan sebaliknya.
      Dengan cara ini, saya rasa lebih berani dan bersikap tegas pada masa dan tempat yang saya rasakan patut dilakukan begitu.
      Saya fikir, mindset ini akan membantu urusan penjagaan ini menjadi sedikit ringan dan saya tidak lagi menghukum diri sayacara berlebihan mahupun sewenang-wenangnya.

Ada pernah satu ketika, emosi saya tidak baik dan saya berasa marah, namun ibu menuntut sesuatu. Berkatalah dalam diri dan hati saya: “Ya Allah, sesungguhnya aku lakukan ini untuk mendapat keredaan-Mu. Berilah aku kesabaran dalam menjaga ibuku. Ampuni aku dan berikanlah aku syurga.” Saya bersyukur sangat saya tak meninggikan suara dan bersabar memenuhi permintaan ibu. Saya melakukannya dengan tenang, lapang dan sabar. Alhamdulillah.

Saya berharap golongan-golongan penjaga/ pengasuh orang tua ini diberikan penghargaan, kasih sayang dan pertolongan yang sewajarnya daripada kaum keluarga, pasangan dan masyarakat.

Sebagai penutup, saya ingin berkongsi satu potongan ayat al-Quran tentang kepentingan berbuat baik kepada ibu bapa sebagai peringatan untuk diri sendiri saya juga.

Potongan ayat al-Quran daripada surah al-Nisa ayat 36. Ayat tersebut bercakap tentang tauhid, jauhi syirik dan berbuat baik kepada ibu bapa.
Tangkap layar daripada laman web Pejabat Wilayah Mufti Persekutuan.

Semoga anak-anak yang menjaga ibu bapanya dengan kasih sayang dan sabar beroleh nikmat rezeki yang melimpah ruah yang tidak pernah habis sepanjang hidup mereka. Semoga kesabaran dan pengorbanan kita semua dibalas dengan nikmat syurga kelak. Amin yarabbal alamin!

 Artikel daripada KKM ini sangat berinformasi untuk dibaca oleh penjaga dan pengasuh orang tua. Klik untuk baca.

Ada yang sedang menjadi penjaga kepada ibu bapa? Kongsi cabaran anda di ruangan komen. Kalau anda rasa perkongsian ini bermanfaat untuk orang lain, kongsikan dan panjangkan isi kandungan artikel ini kepada kenalan media sosial anda. Ianya amat membantu saya untuk terus menulis dan berkongsi!

2 responses to “6 Cara Bagaimana Menjaga Kesihatan Mental Ketika Menjaga Ibu Bapa Yang Tua”

  1. Eika Jasmin Avatar
    Eika Jasmin

    nice writing

    Like

    1. Cik Mas Menulis Avatar

      Aww, thanks Eika! It means a lot to me. 🙂

      Like

Leave a reply to Eika Jasmin Cancel reply

Saya Cik Mas

Selamat datang ke blog saya; satu sudut yang selamat dan selesa untuk saya berkongsi buah fikiran dan pengalaman hidup kepada anda semua. Saya gemar berkongsi topik kesihatan mental, perhubungan, produktiviti dan perkembangan diri. Semoga perkongsian saya membantu anda untuk hidup dengan lebih baik dan berkualiti.

Mari berhubung