Baru-baru ni aku ada tengok satu video pengguna TikTok jual baju kat preloved store. Kaji punya kaji, aku dapat tahu dia jual kat satu bundle shop, namanya 2nd STREET. Aku memang dah lama nak jual baju-baju yang aku tak pakai. Sebelum ni aku jual kat platform Carousell aku (jemput singgah ya), tapi lama-lama jualan makin sendu. Disebabkan itulah, aku pasang hasrat nak jual barang-barang aku ni kat kedai bundle 2nd STREET ni.
Ia ada banyak cawangan, jadi aku pergi ke cawangan yang paling dekat dengan lokasi tempat tinggal aku. Butiknya terletak dalam bangunan pasaraya Lotus di Setia Alam. Senang nak cari, parking pun free!
Sampai je kat kedai, aku dibawa ke kaunter jual baju. Mula-mula (dibaca: mola-mola ala Kak Cik Yah), aku dimaklumkan secara lisan tentang terma dan syarat jual beli di kedai 2nd STREET ni. Kemudian, mereka akan bagi satu borang untuk aku tandatangani. Borang tu, secara asasnya, menyatakan persetujuan aku untuk menjual baju-baju aku kepada mereka.
Satu perkara yang agak janggal: aku diminta untuk memberikan kad pengenalan. Kata mereka, ini untuk tujuan pengesahan. Aku beritahu mereka supaya data peribadi aku dilindungi. Awas!
Selepas sign borang, mereka ambil barang-barang aku untuk proses pemilihan. Lebih kurang 1 jam juga prosesnya tu. Sempat masuk Guardian, Mr DIY, Lotus dan pergi tukar bateri kunci kereta!
Hasilnya….
Daripada berbelas-belas barang yang aku bawa, hanya empat yang mereka pilih. Daripada empat barang tersebut, hanya dua barang yang aku rela hati lepaskan! Harga yang diambil terlalu murah meskipun harga asal barang itu berharga ratusan ringgit hingga ribuan! Aku dapat RM5. Cukup beli air soya kat kiosk bawah butik ni.
Kalau orang tanya aku berbaloi ke tak datang jual barang kat sini? Tak. Tapi, seronok juga sebab dapat pengalaman dan pengetahuan baharu tentang jual beli baju terpakai ini.
Jadi, apa aku nak buat dengan barang-barang yang tak terjual ni? Jual baliklah kat Carousell! Jemput singgah ke kedai saya di platform tersebut, ya? 🙂








Leave a comment