Sedang Kita Terlalu Asyik Mengejar Impian, Kita Terlupa Ibu Bapa Kita Sedang Menua Dimakan Usia.

Baru-baru ini aku pulang ke kampung halaman, menziarahi ibu.

Keadaan ibu macam biasa, masih sihat semampu dirinya.

Sihat ore-ore tuo. Boleh jale, boleh make, alhamdulillah.”, ujar ibu apabila setiap kali aku bertanya khabar tentang kesihatan dirinya, hari itu tidak terkecuali.

Namun, kali ini ada satu perubahan yang agak janggal — rambut ibu.

Sisir-sisir rambutnya kian jarang, menampakkan kulit kepalanya yang putih kemerahan.

Mek, lepas make, kito mandi nok? Adik nok syampu kepalo mek.“, ajakku yang bercampur-baur dengan rasa gusar.

“Ho…”. Ibu selalunya akur sahaja, kerana itu sudah menjadi kebiasaan aku untuk membantu menjaga kebersihan dirinya.

***

Usai memandikannya, aku melangkah keluar dari bilik air dengan perasaan tergamam, hiba dan sayu.

Segenggam rambut berselirat putih dan hitam yang kugumpal penuh sebentar tadi benar-benar mengiyakan kegusaranku di meja makan.

Sungguh, aku tahu dan sedar yang ibu sudah tua, tetapi untuk kali ini, realitinya benar-benar menyentakku, seperti baru sahaja aku terjaga daripada mimpi!

Ke mana waktu telah pergi?

Adakah aku terlalu sibuk mengejar bucket list kehidupanku sehingga aku terlupa akan masa yang memamah usia ibuku?

Masa atau akukah yang kejam?

Bahkan kedua-duanya?

Pada saat itu, tahulah aku bahawa inilah perubahan-perubahan besar yang aku akan lihat dan lihat lagi pada masa hadapan.

Walau aku merasa diri ini bersedia, tidaklah bermaknya ianya tidak akan meninggalkan sebarang kesan terhadap diriku.

Aku berharap, selagi Tuhan memberi kesempatan dari segi masa, wang dan kesihatan, aku dapat lebih kerap pulang dan melaburkan masa mencipta kenangan yang manis bersama ibu, semampu kudrat dan batasan diriku.

Adik saye mek sampai syurgo!

Leave a comment

Saya Cik Mas

Selamat datang ke blog saya; satu sudut yang selamat dan selesa untuk saya berkongsi buah fikiran dan pengalaman hidup kepada anda semua. Saya gemar berkongsi topik kesihatan mental, perhubungan, produktiviti dan perkembangan diri. Semoga perkongsian saya membantu anda untuk hidup dengan lebih baik dan berkualiti.

Mari berhubung