Aku sedang membetulkan telekung bagi mendirikan solat Maghrib sebelum tiba-tiba disapa oleh seorang perempuan berusia dalam lingkungan 40-an.
“Nak berjemaah?” tanyanya.
“Em, boleh juga,” jawabku spontan. Aku teruskan lagi, “siapa nak jadi imam?”.
“Awaklah.” jawabnya.
Terus aku mengambil posisi sebagai imam dan membetulkan sejadah wanita tersebut sebagai makmum.
Situasi atas ni tak akan jadi mudah kalau aku tak pandai baca bacaan-bacaan dalam solat dan tak pernah jadi imam.
Jadi aku nak cerita macam mana aku berani sahut panggilan orang untuk mengetuai solat berjemaah.
Salah satu nikmat yang aku syukuri sepanjang aku membesar ialah mempunyai mak ayah yang amat mementingkan agama. Tak semua ibu bapa mampu menjadi contoh Muslim yang baik kepada anak-anak mereka. Dalam kehidupan aku, Allah SWT rezekikan aku dapat ibu bapa yang soleh, alhamdulillah.
Aku masih ingat momen-momen arwah ayah ajak kami adik beradik untuk solat berjemaah. Selepas dia meninggal dunia, mak aku ambil alih peranan untuk mengingatkan kami agar mendirikan solat dan mengaji al-Quran. Mak jadi garang tau, takut, haha!
Disebabkan persekitaran dan dorongan kuat daripada mak ayah aku inilah yang buat aku suka mengaji al-Quran. Aku jarang ponteng kelas mengaji dengan Cik Nab, jiran; guru mengaji aku. Walau penat, malas dan takut sekalipun, aku tetap datang. Malas tu sebab nak tengok cerita Anak-Anak Sidek yang selalu main pukul 7 pm. Takut tu pula sebab takut hantu, hahaha.
Hasilnya, aku dapat khatam awal berbanding rakan-rakan yang selalu tak hadir dan yang paling membanggakan — Cik Nab menyuruh aku mengajar pula!
“Ngaji dengan Mastura dulu” atau “Mastura boleh ajar?”. Kalau tak silap aku, inilah dialog-dialog Cik Nab kepada aku atau rakan sepengajian yang lain. Sungguh aku tak sangka, sampai ke tahap itu kepercayaan yang diberi. Ada rasa terharu dan bangga yang tak dapat aku ungkapkan pada masa itu dan setiap kali aku dapat mengajar rakan-rakan yang lain.
Begitulah perjalanan bagaimana aku boleh yakin untuk mengaji, membaca dan mengajarkan al-Quran kepada keluarga terdekat.
Kemudian, daripada mengajar mengaji, aku “upgrade” kepada jadi imam pula. Makmum pertama aku? Bondaku yang tercinta.
Selain mak aku, aku juga pernah mengetuai solat terawih bersama empat orang akan universiti. Aku menolak sebab tak yakin kerana ianya panjang dan melibatkan lebih daripada seorang makmum. Gugup tapi aku layankan sahaja. Benda paling cemas yang dikhuatiri akan berlaku bila galas tanggungjawab jadi imam ini ialah terlupa bacaan surah dan rakaat!
Jadi, disebabkan pengalaman-pengalaman inilah yang membuatkan aku tak ada masalah untuk menjadi imam di surau awam dan bersama orang asing.
Perkara sebegini sedikit sebanyak menjentik rasa syukur yang mendalam dalam diri aku. Syukur kerana aku diberikan literasi untuk membaca ayat-ayat suci al-Quran dan dapat menjadi imam disebabkan kemampuan tersebut.
P.S. Boleh baca al-Quran tak bermaksud mahir tentang tajwid. Bahagian tajwid ini aku kena masuk kelas kalau betul-betul serius nak mengajarkan kepada orang lain.




Leave a comment