A rectangle book in the middle of 5 opened books. It has title: Memelihara Jiwa by Malik Badri
  • Karya: Malik Badri
  • Halaman: 129 muka surat
  • Mengandungi 8 bab:
    • Bab 1: Keperluan Mendesak Untuk Memupuk Kesejahteraan Jiwa
    • Bab 2: Penjagaan Kesihatan Psikologi
    • Bab 3: Cara-Cara Mengembalikan Kesihatan Psikologi Setelah Kehilangannya
    • Bab 4: Gejala (Atau Penyakit) Psikologi Dan Ciri-Cirinya Yang Tersendiri
    • Bab 5: Cara Mengatasi Kemarahan Dan Menghilangkannya
    • Bab 6: Meredakan Ketakutan
    • Bab 7: Kaedah-Kaedah Menangani Kesedihan Dan Kemurungan
    • Bab 8: Strategi Mental Untuk Menangkis Bisikan Hati Yang Berulang Dan Bicara Kendiri Yang Mengganggu
  • Penterjemah: Auni Baharin
  • Penyunting: Alizi Alias
  • Penerbit: IBDE Ilham Sdn. Bhd.
  • Pautan pembelian: Buku Memelihara Jiwa: Petua Daripada Tabib Kurun Ke-9

Membaca buku ini membuatkan saya rasa malu dan ralat. Sebab apa? Sebab selama ini, rujukan saya tentang hal-hal yang berkaitan dengan psikologi semuanya daripada orang Barat!

Bukan saya tidak pernah membeli dan membaca buku-buku tulisan ahli psikologi Islam; saya ada dan masih lagi menyimpannnya. Contohnya, Healing the Invisible Wound, Cuak, Susahnya Hidup Dengan Manusia dan Mendewasa Dengan Luka. Karya-karya ini dihasilkan oleh ahli-ahli psikologi dan doktor psikiatri daripada Malaysia yang beragama Islam.

Namun, saya berasa sedikit terkilan kerana saya meletakkan naskhah ulung ini dibawah senarai buku-buku ahli psikologi Barat. Lebih menyedihkan, saya pun tak pasti nak beli atau tidak buku ini!

Okey, cukuplah bercakap tentang perasaan bersalah ini. Yang penting, naskah ini sudahpun berada di tangan saya. Ayuh, kita telusuri naskah berharga ini dari bab ke bab.

Di muka surat pertama, pembaca didedahkan dengan siapa itu Abu Zayd al-Balkhi. Beliaulah tabib (doktor) yang menjadi subjek utama dalam buku ini. Secara ringkasnya, penulis (Malik Badri) menceritakan tentang sumbangan, perjalanan karier, ciri-ciri fizikal dan personaliti al-Balkhi.

First page from Memelihara Jiwa's book.

Ada disebut yang al-Balkhi seorang yang introvert dan jarang bergaul, jadi terlalu sedikit info yang penulis dapat kumpulkan mengenai riwayat hidup beliau. Dari sini, jelas terpancar kelemahan sebagai seorang yang pendiam.

Namun begitu, pendapat saya, sumbangannya dalam ilmu geografi, perubatan, teologi, siasah, falsafah, puisi, sastera, tatabahasa Arab, astrologi, astronomi, matematik, biografi, etika, sosial dan lain-lain mengatasi segala kekurangan sifat kurang bergaulnya itu! Bayangkanlah, dah 1100 tahun telah berlalu semenjak kewafatannya, tetapi nama dan tinggalan ilmunya masih mekar sehingga ke hari ini.

Seterusnya, pada muka surat ke-17 sehingga ke-37, penulis membentangkan ringkasan dapatan bahagian kedua manuskrip Masalih al-Abdan wa al-Anfus melalui sudut pandangannya. Dalam rumusannnya, penulis mengiktiraf al-Balkhi sebagai:

  • Genius perubatan psikologi pada abad ke-9 kerana pengetahuannya tentang maklumat perubatan dan psikoterapi yang mendahului zaman!.
  • Perintis perubatan psikosomatik (fikiran dan tubuh badan).
  • Ahli psikologi kaunseling moden kerana beliau telah membincangkan perbezaan individu neurotik dengan yang mengalami kecelaruan emosi.
  • Perintis terapi kognitif kerana beliaulah orang pertama yang membangunkannya secara terperinci.
  • Orang pertama yang menemui perbezaan antara kemurungan endogen dan kemurungan reaktif.
Text on a page in Memelihara Jiwa's book.

Saya terharu dengan pengakuan penulis yang berusaha sedaya upaya menterjemah dan menerangkan kandungan nakshah ini dalam bahasa yang mudah difahami orang awam.

Sebelum mengakhiri catatan, penulis ada menzahirkan rasa terkilan kerana ahli-ahli psikologi daripada Barat melangkau dan mengabaikan sumbangan tokoh psikologi seperti al-Balkhi ini dalam buku-buku kajian mereka. Penulis berharap buku ini dapat dijadikan rujukan sarjana moden untuk menulis semula sejarah psikologi dan psikoterapi dengan memasukkan sumbangan tokoh yang menjadi subjek utama penulisan Masalih al-Anfus ini.

Kemudian, barulah pembaca akan menemui intipati terjemahan manuskrip Masalih al-Anfus di muka surat 43 dan ke atas. Ada 8 bab yang dibincangkan al-Balkhi dalam karya beliau, iaitu:

  1. Keperluan mendesak untuk memelihara jiwa
  2. Penjagaan kesihatatan psikologi
  3. Cara-cara mengembalikan kesihatan psikologi setelah kehilangannya
  4. Gejala (atau penyakit) psikologi dan ciri-cirinya yang tersendiri
  5. Cara mengatasi kemarahan dan menghilangkannya
  6. Meredakan ketakutan
  7. Kaedah-kaedah menangani kesedihan dan kemurungan
  8. Strategi mental untuk menangkis bisikan hati yang berulang dan bicara kediri yang mengganggu.
Text on a page in Memelihara Jiwa's book.

Saya akan kongsikan panduan-panduan daripada al-Balkhi bagi menangani gejala psikologi iaitu tekanan atau keresahan, kegerunan, kesedihan melampau, kemurungan, atau kesayuan dan was-was yang terdapat di bab 3 hingga 8. Panduan inilah yang digunakan psikologis di masa sekarang!

Cara Mengatasi Kemarahan Dan Menghilangkannya

  1. Memanfaatkan masa-masa rehat dan tenang untuk menyakinkan diri bahawa kemarahan ialah gejala yang boleh dilawan (dengan pemikiran yang tenang) ketika gejala itu mula-mula muncul.
  2. Befikir mengenai penyakit-penyakit jasmani yang boleh terjadi akibat kemarahan dan keberangan.
  3. Bermuhasabah tentang rasa bersalah dan penyesalan mendalam yang dialami oleh ramai raja dan pemerintah apabila mereka membiarkan kemarahan mereka menggelegak sehingga menjatuhkan hukuman ynag terlampau berat ke atas orang yang menjadi punca keberangan mereka.
  4. Mengingatkan jiwa bahawa berfikir tentang betapa besarnya nila kesabaran dan kemaafan.
  5. Menyedari bahawa membalas dendam secara terburu-buru dan melampau akan merosakkan hubungan baik antara orang atasan dengan orang bawahan serta hambanya, dan antara raja dan rakyatnya.
  6. Menumpukan perasaan negatif terhadap kesalahan orang bawahan atau rakyat tersebut, dan bukannya terhadap diri pesalah sebagai seorang manusia.
  7. Menanyakan kepada diri sendiri sama ada pernah melakukan kesalahan yang sama dan berkelakuan cuai seperti perkara yang menjadi punca kemarahannya sekarang.
  8. Mengingatkan dirinya dengan penuh timbang rasa akan khidmat dan sumbangan pesalah yang penuh keikhlasan sebelum ini sera sifat-sifat baiknya, maka dia akan dapat mengurangkan perasaan negatif terhadap pesalah.

Cara Meredakan Ketakutan Dan Kecemasan

  1. Menyedari bahawa dalam kebanyakan kes, ketakutan terhasil daripada jangkaan tentang sesuatu pengalaman yang menakutkan.
  2. Menimbulkan rasa marah terhadap tingkah laku ketakutan pada diri sendiri dengan “menjentik” harga dirinya dan menegur jiwanya yang ketakutan.
  3. Meyakinkan diri sendiri bahawa golongan yang menyerahkan diri mereka kepada perkara menakutkan ialah mereka yang naif dan jahil.
  4. Mendapatkan ilmu dan maklumat sebanyak mungkin berkenaan perkara yang menakutkan (untuk menyedari bahawa perkara tersebut tidaklah berbahaya).
  5. Memaksa diri untuk mendedahkan pendengaran dan penglihatannya kepada perkara yang tidak menyenangkan itu sehingga terbiasa, meskipun anda mungkin membenci proses latihan ini.

Cara Menangani Kesedihan Dan Kemurungan

  1. Menilai kemudaratan jasmani berlebihan yang boleh terjadi disebabkan oleh kesedihan dan kemurungan berpanjangan, apabila seseorang terdorong untuk meratapi kehilangan yang dirasai.
  2. Memahami dan menyedari bahawa kehidupan di dunia hakikatnya bukan tempat kegembiraan dan kebahagiaan abadi, serta bukan tempat yang terselamat daripada kehilangan orang tersayang atau keinginan yang didambakan.
  3. Menyedari bahawa orang yang hilang kesabaran dan menyerah diri kepada rasa putus asa dan ketidakupayaan ialah mereka yang penakut atau lemah.
  4. Menyedari bahawa jiwa atau diri seseorang sepatutnya menjadi perkara miliknya yang paling berharga dan patut dijaga.
  5. Mengurangkan kesan musibah yang menimpa dengan menyedari bahawa musibah itu boleh hadir dalam bentuk yang lebih menyeksakan.
  6. Menyedari bahawa semua peristiwa (pengalaman sendiri atau orang lain) yang mendukacitakan dan menghibakan akan dilupakan satu hari nanti.

Cara Menangkis Bisikan Hati Yang Berulang Dan Bicara Kendiri Yang Menganggu

  1. Mengelakkan diri daripada bersendirian kerana kesunyian merangsang fikiran negatif dan bicara kendiri yang tidak sihat secara semulajadi.
  2. Menghindarkan tabiat duduk-duduk sahaja dan pengangguran.
  3. Memilih saudara-mara atau sahabat-sahabat yang ikhlas serta boleh dipercayai, yang benar-benar menyayanginya dan menginginkan kesihatan dan kebahagian buatnya untuk berbincang tentang masalah yang dihidapi.
  4. Menggunakan fikiran-fikiran berlawanan untuk menyangkal bicara kendirinya yang negatif sama seperti seorang defendan yang berhujah melawan dirinya sendiri dalam mahkamah.
  5. Memerhati cara orang di sekelilingnya bertindak balas terhadap bisikan-bisikan dalamannya yang menyedihkan atau menakutkan yang boleh melemahkan semangat pesakit atau merosakkan kestabilan hidupnya (berhujah kepada dirinya; jika bisikan dan bicara kendirinya yang memudaratkan tersebut memang benar, sudah pasti orang di sekelilingnya akan juga terganggu).
  6. Mempertimbangkan masalah dan sebab-sebabnya.
  7. Merenung bahawa Allah SWT telah menciptakan perairan yang tetap berkenaan proses perkembangan dan pertumbuhan, serta pelemahan dan pereputan bagi semua jenis tumbuh-tumbuhan, haiwan, malah benda-benda bukan hidup. Hujah ini sesuai untuk mereka yang mengalami obsesi terhadap kesihatan diri dan kematian.
  8. Memikirkan bahawa sesuatu yang diciptakan berasaskan hukum sebab dan akibat memiliki beberapa faktor yang boleh dinilai that ketahanan dan kelemahannya dalam melawan perkara-perkara yang berbahaya.
  9. Memikirkan tentang kekuasaan Allah ke atas alam dan bagaimana Allah telah menetapkan umur (jangle hayat) yang khusus bagi setiap manusia yang bernyawa.
  10. Memikirkan bahawa apabila Allah menginginkan manusia untuk hidup di bumi, Dia telah menjadikan jalan-jalan untuk hidup dengan selamat lebih banyak berbanding jalan-jalan yang tidak selamat dan berbahaya.
  11. Memikirkan bahawa Allah yang Maha Tinggi telah menciptakan manusia dalam keadaan yang tidak terlepas daripada pelbagai penyakit jasmani atau psikologi.

Saya amat menggalakkan dan merekomenkan anda untuk baca naskhah ulung ini, terutamanya kepada mereka yang suka dengan topik psikologi mahupun yang skeptikal terhadap penyakit jiwa ini. Sebagai penutup, saya nak kongsikan kenyataan-kenyataan al-Balkhi yang kita boleh amati, renungi dan fahami.

Memandangkan manusia terbentuk daripada jasad dan jiwa, maka dia pasti akan menghadapi ujian daripada kedua-dua komponen tersebut.

Dunia ini ialah tempat bersarangnya keresahan, kesedihan, kebimbangan dan musibah. Walaupun manusia telah berusaha untuk memelihara ketenangan jiwanya, nasib malang dan musibah akan tetap mengganggu ketenteraman jiwa.

Kami percaya bahawa teras segala gejala emosi yang memudaratkan ialah al-gham, iaitu tekanan atau keresahan. Al-Gham umpama akar, dan perkara-perkara yang bercambah daripadanya ialah dahan-dahannya.

Back cover of Memelihara Jiwa's book.

Leave a comment

Saya Cik Mas

Selamat datang ke blog saya; satu sudut yang selamat dan selesa untuk saya berkongsi buah fikiran dan pengalaman hidup kepada anda semua. Saya gemar berkongsi topik kesihatan mental, perhubungan, produktiviti dan perkembangan diri. Semoga perkongsian saya membantu anda untuk hidup dengan lebih baik dan berkualiti.

Mari berhubung