Aku suka bercerita tentang kenangan waktu kecil—terutamanya ketika aku masih kanak-kanak. Ini salah satunya.

Sewaktu di sekolah rendah, aku boleh katakan diri aku sebagai murid yang agak aktif menyertai program kelab dan memasuki pertandingan. Mungkin disebabkan aku ini berpersonaliti kompetitif, jadi ianya mendorong aku mencuba nasib walau tanpa dorongan orang dewasa dan pengaruh rakan sebaya. Contohnya, aku pernah sertai pertandingan menulis jawi, mathmagic dan nasyid.

Untuk kelab, aku selalu menghadiri kelas yang diadakan oleh kelab komputer sekolah di setiap hujung minggu. Aku berjaya habiskan kelas sampai dapat sijil. Bangga betullah, haha!

Okay, here’s the main story. Ketika itu, aku baru sahaja tamat menyertai satu pertandingan. Belum habis penat, aku tiba-tiba dipilih untuk jadi wakil sekolah bagi pertandingan melukis. Sejujurnya, aku tak pandai melukis. Hairan sungguh kenapa aku terpilih.

Bukan itu sahaja, aku langsung tidak diberi latihan bagi menyiapkan diri menyertai pertandingan ini!

Mahu sahaja aku menolak tawaran ini tetapi ada rasa serba salah untuk berbuat demikian kerana guru yang memilihku itu merupakan guru yang aku hormati dan sanjungi. Selain itu, aku fikir aku akan dapat pengalaman baru, jadi tak ada salahnya. Tambahan pula, tak berani nak kata tidak. Maka, aku terima dengan hati yang berbelah bagi.

Dengan tiada persiapan dari segi latihan dan emosi, aku tiba di lokasi pertandingan. Ia bertempat di satu sekolah di kawasan bandar. Tema pertandingan melukis tersebut ialah dadah.

Namun, perasan amarah mengatasi segala-galanya. Didorong oleh rasa geram kerana tidak dimaklumkan awal dan diberikan latihan sebelum bertanding, aku mengambil pensel dan mula melakar. Nak tahu apa yang aku lakar? — Gunung, rumah, burung, matahari dan rumah. Ya, aku tak lukispun seperti apa yang diminta. Aku berkata di dalam hatiku, “sapa suruh pilih aku.”

A tree and house with the mountains background. A sunrise and birds are on the sky.
Lukisan oleh Cik Mas.

Loceng masa dibunyikan menandakan masa melukis tamat. Detik itu telah mengembalikan kerasionalanku. Apa yang aku telah lakukan? Adakah betul apa yang aku lakukan? Tak rasa berdosa ke? Bermacam-macam soalan ditujah di minda. Ada rasa menyesal kerana tidak serius dan menyia-nyiakan peluang ini. Namun, semua penyesalan itu sudah terlambat. Lalu aku tetap menghulurkan lukisan tersebut kepada juri.

Keputusan pertandingan? Sudah tentu, aku tidak menang apa-apa.

Kalau waktu boleh diulang kembali, biarlah tidak berulang. Sebab aku belajar sesuatu tentang perasaan geram, berang, serba salah dan akibat tidak berani mengatakan keengganan. Lagi satu, tak patut aku sengaja melukis sesuatu di luar tema—semata-mata ingin membalas rasa geram dan berang kepada guru aku. Jika dilihat dan dianalisis daripada pengetahuan pengurusan emosi yang aku ada sekarang, ini kemahiran daya tindak yang tidak sihat.

Aku maafkan diri aku kerana bertindak sedemikian tanpa berfikir panjang.

Kepada cikgu tersebut, saya hargai jika dimaklumkan lebih awal dan diberikan latihan, haha! Terima kasih atas peluang yang diberikan. Akhir kata, maafkan aku, cikgu!

Leave a comment

Saya Cik Mas

Selamat datang ke blog saya; satu sudut yang selamat dan selesa untuk saya berkongsi buah fikiran dan pengalaman hidup kepada anda semua. Saya gemar berkongsi topik kesihatan mental, perhubungan, produktiviti dan perkembangan diri. Semoga perkongsian saya membantu anda untuk hidup dengan lebih baik dan berkualiti.

Mari berhubung